nuffnang ads

Sabtu, 21 Januari 2012

Di Mana-Mana adaNya Dia.

Mudah merasa Allah ada ketika solat, tetapi ketika ingin bermaksiat, bagaimana?
Bukan mudah untuk merasai Allah sentiasa mengawasi kita 24/7 dalam kehidupan kita. Rasa Allah sentiasa Mengawasi.Dalam bahasa Arabnya, disebut muraqabatullah.



Tahu Allah Maha Memerhati dan Maha Mengawasi.
Tahu Allah itu sentiasa ada, tidak pernah mati.
Tetapi, kadang-kadang tindakan kita selalunya tidak menampakkan seolah-olah kita merasai Allah Maha Mengawasi.
Mudah merasai pengawasan Allah bila berada di tengah ramai, tetapi bila seorang diri, Allah baginya seolah-olah tidak wujud lagi.
Mudah merasai pengawasan Allah ketika berada dalam terdesak dan kesusahan, tetapi ketika senang dan lapang, Allah pun ditinggalkan.
Adakah Allah hanya wujud ketika kita bersama dengan kawan-kawan yang soleh sahaja?
Atau adakah Allah hanya wujud ketika solat, ketika kita benar-benar terdesak?
Adakah Allah tidak wujud pada waktu-waktu lain?


YANG MERASA LONGGAR DENGAN PENGAWASAN ALLAH, INGATLAH YANG ALLAH SENTIASA CEMBURU
Ramai yang tahu Allah Maha Memerhati. Tetapi berapa ramaikah yang benar-benar merasai dan menjiwai pengawasan Allah itu 24/7?
Kadang-kadang, bila berada dalam suasana yang soleh, suasana yang wujudnya peringatan, jiwa kita seolah-olah terasa begitu dekat dengan Allah. Tetapi, bila pulang ke rumah, tidak ada suasana-suasana yang mengingatkan, kita pun merasa longgar daripada ikatan dengan Allah.
Dalam solat, mampu mewujudkan perasaan Allah Maha Mengawasi. Tetapi, bila keluar daripada solat, perasaan itu seolah-olah tidak pernah wujud.
Di celah-celah kelonggaran ikatan kita dengan Allah itulah, syaitan sentiasa mengambil peluang untuk menjauhkan lagi kita daripada Allah. Maka, kita kembali bermaksiat kepada Allah ketika seorang diri. Kita kembali melazimi diri dengan dosa setelah keluar daripada solat.
Mampu menjaga Allah ketika dalam solat, tetapi gagal menjaga Allah pergaulan dan percakapan.
Mampu merasa Allah ada ketika dalam suasana soleh, tetapi gagal merasa Allah ada ketika menonton movie, ketika melayari internet.
Ingatlah yang Allah itu sentiasa cemburu dengan hamba-Nya. Kehidupan yang Dia anugerahkan, tetapi kita habiskan majoritinya untuk dosa dan maksiat. Kita jauhkan kehidupan kita daripada pengawasan Allah.
Allah pun merasa cemburu terhadap kita. Bagaimana?
Dalam satu hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang mafhumnya : ‘Sesungguhnya Allah Taala itu cemburu dan kecemburuan Allah Taala itu ialah apabila seseorang manusia mengerjakan apa-apa yang diharamkan oleh Allah ke atasnya.’


ALLAH ITU SENTIASA ADA KETIKA KAU INGIN BERMAKSIAT
Ketika ingin bermaksiat, ingatlah balasan yang akan menimpa dirimu di akhirat nanti. Api neraka dengan kepanasannya yang menggelegak sentiasa menunggu hidangannya. Buah zaqqum dan cairan tembaga yang nantinya akan menghancurkan isi perutmu.
Ketika ingin bermaksiat, segeralah detikkan pada hati yang Allah sedang Memerhati. Jika masih ada rasa untuk bermaksiat, maka kita memang telah bersedia untuk menanggung seksa kubur, dibelit ular, disengat kala dan disebat malaikat sehingga terbenam ke dalam bumi.
Dengan segalanya yang telah Allah berikan untuk kita layakkah kita membalas Allah dengan dosa-dosa kita yang mengenepikan Allah di waktu-waktu senang kita?
Lalu fikirkan pula, setelah kita sentiasa melupakan Allah, maka ketika saat terdesak, ketika tidak ada siapa yang mampu menolong melainkan hanya Allah, maka apakah layak bagi kita untuk memohon pertolongan dari-Nya ketika itu?
Ingatlah yang Allah sentiasa ada, tidak pernah mati. Allah yang kita sembah ketika solat, adalah Allah yang sama melihat kita ketika ingin bermaksiat.
Allah sentiasa kekal tidak pernah fana.
Kalau menunggu terdesak, baru hendak merasa Allah ada, baru hendak kembali kepada Allah, bimbang kita akan jadi orang yang tidak mempunyai kesempatan untuk kembali seperti Firaun.
Sementara kesempatan masih ada, maka segeralah perbaiki.


Sumber ;MyIbrah.com

Your Comment/ Komen Anda