Artikel pilihan: 11 Langkah Mencapai Apa Sahaja Matlamat 2012 ANDA!
Oleh: Irfan Khairi
1: Keinginan
Pertama sekali di
dalam formula kejayaan adalah keinginan. Untuk mencapai apa jua matlamat
yang anda impikan, anda perlu mempunyai keinginan untuk mencapai
matlamat tersebut. Lagi mendalam keinginan anda, lagi mudah untuk anda
mencapai matlamat tersebut.
Keinginan seumpama
api yang membakar. Lagi besar api tersebut, lagi hangat ia akan
membakar keinginan jiwa anda dalam mencapai apa jua cita-cita yang anda
letakkan untuk diri anda sendiri.
Punca utama
seseorang itu tidak dapat mencapai matlamatnya adalah takut kepada
kegagalan. Sekiranya anda takut kepada kegagalan, maka, anda tidak akan
mengambil langkah pertama untuk mencapai apa jua matlamat. Keinginan
akan membawa anda untuk mengambil langkah pertama tersebut.
Tanpa keinginan, matlamat tidak akan tercapai.

2: Keyakinan
Lagu yang sering
bermain di kepala saya sejak dulu sehingga kini "Jika kau fikirkan kau
boleh, kau boleh melakukan. Jika kau fikirkan ragu-ragu, usaha mu tidak
menentu"
Lagu yang popular pada 80-an. Ya, bunyi nya amat cliché, tetapi lagu yang simple ini mengandungi mesej yang amat besar!
Dalam usaha untuk
mencapai apa jua cita-cita anda, anda perlu mempunyai keyakinan di dalam
hati bahawa cita-cita tersebut akan dicapai! Dengan keyakinan yang
tinggi, ia akan menjadi penggerak kepada anda untuk tidak menoleh
kebelakang lagi.
Keyakinan bukan
bermaksud untuk menjadi bongkak dan taksub... anda tidak perlu
meyakinkan orang ramai. Anda hanya perlu meyakinkan diri anda sendiri
sahaja. Usah risau dalam meyakinkan orang ramai... anda perlu tunjuk
bahawa cita-cita anda tercapai- itu sahaja yang akan meyakinkan orang
ramai.
Dalam menetapkan
matlamat anda, anda perlu realistik. Matlamat yang realistik akan
membantu dan motivasikan anda untuk memberi keyakinan. Sebagai contoh,
matlamat untuk mendapat kenaikan gaji 2 kali ganda dalam masa setahun
mungkin tidak realistik. Tetapi, matlamat untuk menaikkan gaji anda
sebanyak 20% dalam masa setahun adalah lebih realistik!
Matlamat yang tidak realistik hanya akan melemahkan motivasi diri anda apabila ianya tidak tercapai.
3: Tulis matlamat anda
Ini AMAT penting.
Sejak saya menulis di ruang motivasi MASKULIN, entah berapa kali saya
mengulangi petua ini. Di dunia, hanya 2% daripada golongan dewasa yang
menulis matlamat mereka tersendiri. Baki 98% yang lain mungkin tidak
mempunyai matlamat hidup, ataupun, sekiranya ada, tidak menulisnya.
Menulis matlamat
anda adalah seperti anda membuat perjanjian dengan diri anda sendiri.
Matlamat tersebut akan tersemat di fikiran anda dan sentiasa mengingati
anda secara sedar, ataupun separa-sedar untuk anda mencapaikannya.
Matlamat yang
tidak tertulis adalah seumpama angan-angan sahaja. Apabila anda menulis
matlamat anda, ia menjadi sesuatu yang nyata- boleh di sentuh. Anda
telah membawa matlamat di imaginasi kepada bentuk yang anda dapat
mengenggamkannya!
4: Senaraikan kebaikan yang anda akan kecapi
Apa yang anda akan
dapat sekiranya matlamat anda tercapai? Senaraikan segala-galanya. Lagi
panjang senarai anda, lagi bagus. Ini adalah kerana anda menyenaraikan
motivasi-motivasi yang akan mebakar semangat anda untuk terus berusaha
dan mencapai kebaikan tersebut.
Manusia
adalah insan yang beremosi. Dengan memikirkan kebaikan yang anda akan
kecapi, ia akan memandukan anda ke arah mencapai matlamat tersebut.
Berikan sebab-sebab mengapa anda mahukan matlamat anda tercapai, apakah
pulangan yang anda akan terima, serta bagaimanakah tahap kepuasan anda
sekiranya matlamat itu tercapai- ini akan menyemarakkan lagi semangat
anda untuk mencapaikannya...
5: Cermin kan diri sendiri
Di mana anda berada ketika ini? (bukan di bangku atau
di sofa!). Pada ketika ini, apakah keadaan anda. Anda perlu ketahui di
mana anda berada kini untuk mencapai matlamat yang anda telah tetapkan.
Pastikan anda ketahui di mana anda berada kini oleh
kerana itu adalah titik permulaan perjalanan anda. Lebih jelas anda
dapat fahami keadaan anda kini, lebih jelas anda dapat melihat jalan ke
arah pencapaian matlamat.
Sebagai contoh, sekiranya anda inginkan bebas
kewangan, duduk dan ambil masa untuk melihat keadaan kewangan anda kini
secara jujur. Sekiranya matlamat anda adalah untuk menurunkan berat
badan, anda perlu ketahui berat badan anda kini sebagai titik permulaan.
6: Tetapkan deadline
Matlamat tanpa deadline adalah tidak lengkap. Apa jua
matlamat yang ditetapkan, tetapkan sama deadline untuk mencapainya. Bila
kah deadline yang terbaik? 6 bulan? 1 tahun? 3 tahun? 5 tahun? Atau 10
tahun?
Kebanyakan orang tidak deadline untuk menetapkan
matlamat oleh kerana takut, matlamat tersebut tidak dapat tercapai
sebelum deadline! Sekiranya tidak tercapai, ia akan mengurangkan
motivasi sendiri... oleh itu, mereka biarkan tarikh untuk mencapai
matlamat tersebut terbuka- bila-bila masa sahaja!
Itu adalah pemikiran yang salah. Dengan menetapkan
deadline untuk matlamat anda, anda memberi satu sasaran yang jitu. Apa
akan terjadi sekiranya anda tidak berjaya mencapai matlamat sebelum
tarikh deadline? Senang sahaja... berikan satu tarikh deadline yang
baru! Ia hanya akan mengajar anda untuk lebih berusaha dan lebih
realistik dalam mencapai matlamat.
7: Ketahui rintangan
Dalam mencapai apa jua yang berbaloi, sudah pasti akan
terdapat rintangan di hadapan anda. Lagi besar matlamat anda, lagi
besar rintangan yang anda perlu lalui. Ketahui rintangan-rintangan
tersebut dan pelajari cara untuk menempuhinya terlebih dahulu.
Anggap usaha anda dalam mencapai matlamat adalah satu
perjalanan mencari ilmu. Setiap rintangan yang anda temui walaupun
sekecil manapun akan memperbaiki diri anda untuk rintangan-rintangan
yang lebih besar di masa hadapan. Ini menjelaskan bahawa, mereka yang
berjaya didunia adalah tergolong daripada mereka yang berpengalaman
menghadapi rintangan-rintangan tersebut.
Kejayaan yang cemerlang akan hadir apabila anda
berjaya menguasai segala rintangan. Oleh itu, lakukan perancangan
terlebih dahulu. Senaraikan apakah rintangan-rintangan yang akan muncul.

8: Ilmu tambahan
Ketahui Ilmu tambahan yang perlu anda lengkapkan pada
diri anda untuk mencapai cita-cita tersebut. Manusia diberi anugerah
akal fikiran yang merupakan anugerah yang paling istemewa sekali.
Bina satu senarai- apakah ilmu tambahan yang anda
perlu ketahui untuk mencapai matlamat anda? Apakah kebolehan tambahan
yang anda perlukan? Apakah pengalaman yang anda perlukan? Bolehkah anda
mendapat bantuan orang lain sekiranya anda tidak mempunyai sesuatu
kebolehan itu? Apakah maklumat yang paling penting atau kebolehan yang
paling penting untuk andapunyai dalam mencapai matlamat anda?
Tanggungjawab anda adalah untuk mempelajari apa jua yang anda perlu tahu dalam mencapai matlamat anda.
9: Perancangan
Kata pakar motivasi "Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal"
Jangan biarkan nasib menentukan arah tuju anda. Buat
perancangan yang rapi- seperti kontraktor memerlukan plan untuk membina
bangunan yang gagah berdiri. Anda juga perlu plan untuk mencapai menara
gading.
Rancang langkah-langkah anda dengan terperinci- dalam
masa 1 bulan, apa yang anda perlu buat? Sekiranya ia tidak menjadi,
apakah alternatif yang lain?
Hukum alam mengatakan, apa yang anda beri dan
taburkan, ianya akan menjadi hasil. Sekiranya anda merancang untuk
taburkan sedikit usaha, maka, sedikitlah pulangan anda. Sekiranya anda
merancang untuk menaburkan bergunung-gunung usaha, maka, hebatlah
pulangan yang anda akan terima.
Anda tidak boleh melanggar hukum ini. Mereka yang
melanggar hukum ini adalah mereka yang sering ditpu dengan skim-skim
piramid, skim cepat kaya, SCAM dan pelaburan yang hanya akan meleburkan
wang sendiri.
10: Bina gambaran
"A picture paints a thousand words". Beri gambaran
yang jelas di fikiran anda bahawa matlamat anda telah tercapai.
Gambarkan diri anda 1 tahun dari sekarang. Atau, 10 tahun dari sekarang.
Dengan berimiginasi gambaran anda berjaya di masa
hadapan, ia juga akan membakar semangat anda untuk mencapai gambaran
tersebut. Fikiran manusia dipenuhi dengan gambaran-gambaran dan bukannya
perkataan. Penuhi fikiran anda dengan gambaran kejayaan anda di masa
hadapan.
Berhati-hati, terlalu banyak mimpi di siang hari tanpa
usaha dan perancangan, anda tidak jauh berbeza dengan angan-angan Mat
Jenin!
11: Janji pada diri sendiri...
Janji pada diri anda sendiri, tidak kira apa rintangan
yang akan datang. Tidak kira apa jua kegagalan yang anda hadapi,
jangan- JANGAN- JANGAN sekali-kali putus asa! Sekrianya anda terjumpa
dengan sahabat karib kejayaan, iaitu kegagalan- usah risau. Kejayaan
adalah perintis untuk mencapai apa jua kejayaan- oleh sebab itulah saya
gelarkannya sahabat karib.
Amat jarang sekali sesuatu kejayaan di capai tanpa
kegagalan. Lagi banyak kegagalan anda temui, ianya bermaksud lagi hampir
kejayaan kepada anda. Jangan putus asa oleh kerana kejayaan mungkin
sedang menunggu disebalik kegagalan itu.
Berita baiknya
adalah, menempuhi kegagalan adalah menambahkan pengalaman sendiri. Lebih
banyak kegagalan yang anda jumpai, maka, lebih banyak anda dapat
pelajari. Anda akan mempelajari lebih banyak dari sesuatu kegagalan.
Sekiranya anda menjumpai kegagalan, ubah cara anda- jangan pula ikut
cara yang sama oleh kerana cara yang sama akan membawa kegagalan
seterusnya!
Selamat beramall..
semuga semuanya berjalan seperti yang di rancangkan..