Fadilat berbuka dengan kurma
ALLAH SWT telah menjadikan kurma atau tamar dengan banyak
keistimewaan dan kelebihannya. Kurma adalah satu mukjizat dan sumber
rezeki, manfaat serta memberi kesihatan bagi kehidupan manusia.
Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menyebutkan kelebihan
dan keutamaan kurma. Antara lain Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pokok tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” – (Surah Maryam, ayat 25).
Allah memerintahkan Siti Maryam untuk menggegarkan batang pokok kurma
ketika melahirkan anaknya, Nabi Isa as. Tanpa seorang pun yang
membantunya, air mengalir di sisinya. Air itu kemudian diambil dan
diminumnya sebagai ganti cairan tubuh yang hilang ketika melahirkan Nabi
Isa.
Firaun juga memilih batang kurma untuk menyalib orang yang beriman
kepada Tuhan Musa dan Harun sebagai azab bagi mereka kerana kekuatan dan
kekukuhan yang ada pada pokok itu. Penyihir itu berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa.” (Surah Taaha, ayat 70).
Mengenai kurma sebagai buah yang berkat, Rasulullah SAW mewasiatkan kepada umatnya untuk memakannya ketika berbuka puasa.
Daripada Salman Ibnu Amir RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika
salah seorang di antara kamu akan berbuka puasa, maka berbukalah dengan
kurma sebab kurma itu berkat, kalau tiada, dengan air kerana air itu
bersih dan suci.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Daripada Anas RA berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW berbuka puasa
dengan beberapa rothab (kurma mekar yang dipetik dari pohonnya) sebelum
bersolat (Maghrib). Kalau tidak ada rothab, maka dengan beberapa kurma
matang (kering), kalau tidak ada, maka dengan beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Tidak diragukan lagi bahawa di sebalik sunnah Nabi SAW ini, ada
petunjuk perubatan dan manfaat yang banyak bagi kesihatan dan hukum yang
elok dan bagus untuk manusia. Rasulullah SAW telah memilih makanan ini
(kurma) atau tamar dan tidak memilih yang lainnya kerana adanya manfaat
yang sangat besar dan mulia.
Dalam hadis juga disebutkan keutamaan tamar atau kurma itu.
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda
bermaksud: “Rumah yang tidak memiliki kurma adalah rumah yang penghuninya sentiasa berasa lapar.” (Hadis riwayat Bukhari).
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya tamar itu
menghilangkan penyakit dan tidak ada penyakit di dalamnya kerana ia
adalah tanaman dari syurga yang boleh dijadikan sebagai ubat.”
Sa’ad RA berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda
bermaksud: “Siapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah (kurma Nabi), maka
akan terhindar daripada racun dan sihir.” (Hadis riwayat Bukhari)
Ibnu Qaiyyim dalam kitabnya Zaadul Ma’ad berkata: “Kurma ialah
buah-buahan yang sangat sesuai untuk mengisi perut yang kosong dan mampu
memberi tenaga bagi tubuh. Kurma juga buah yang bermutu tinggi dan
bermanfaat bagi kesihatan hati manusia dan dapat menghaluskan tabiat
manusia yang kasar.”
Satu kajian dilakukan untuk mengetahui kandungan kimia dan biologis
dalam kurma. Kajian itu berkesimpulan bahawa, setiap bahagian kurma yang
dimakan mengandungi kandungan zat gula 70-75 peratus, 2-3 peratus
protein, 5-8 peratus serat dan sedikit kandungan lemak. Selain itu,
dalam penelitian perubatan juga didapati bahawa kurma mengandungi 65-70
peratus air jernih, 24-58 peratus zat gula, 2-2.1 peratus protein, 5.2
peratus serat dan sangat sedikit kandungan lemak.
P/S: Hati-hati dengan kurma keluaran Israel, Jordan River yang banyak dijual di pasaran.
Sumber ; Islam itu indah