nuffnang ads

Sabtu, 17 Mac 2012

Mengumpat ?? Apa ko tau ?

Rasulullah S.A.W bertanya para sahabat: “Adakah kamu tahu apa makna mengumpat?”
Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”



Rasulullah S.A.W menjelaskan yang bermaksud: “Kamu menyebut sesuatu tentang saudaramu yang ia benci.”
Sahabat bertanya: “Sekiranya apa yang saya sebutkan itu benar-benar wujud, adakah dikira mengumpat juga?”
Rasulullah S.A.W menerangkan: “ ekiranya apa yang kamu sebut itu benar wujud berlaku, maka kamu dikira mengumpat. Dan sekiranya apa yang kamu sebut itu tidak benar, maka kamu dikira telah memfitnahnya.”
(Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim)
Perbuatan menyebut sesuatu yang benar-benar wujud (berlaku) tentang seseorang yang sekiranya ia mengetahuinya, ia pasti akan marah.
Dalam kitab Al Azkar, Imam Al-Nawawi menyediakan takrif yang terperinci:
“Kamu menyebut tentang saudaramu yang ia memarahinya sama ada perkara tersebut berkaitan dengan tubuh badan, agama, dunia, diri, fizikal, akhlak, harta, anak, ayah, pasangan, khadam, hamba, serban, baju, cara berjalan, bergerak, senyuman, masam wajah dan segalanya yang berkaitan dengan dirinya, sama ada dengan cara menyebut, menulis, isyarat mata, kepala dan sebagainya.”
Allah membuat perumpamaan dalam Al Quran Surah Al-Hujurat ayat 12 bahawa mengumpat itu umpama seseorang memakan daging saudaranya telah mati.
Ketika peristiwa Israk MIkraj, Rasulullah S.A.W diperlihatkan suatu situasi yang sangat mengerikan iaitu satu kaum yang memiliki kuku dari tembaga sedang mencakar-cakar wajah dan dada mereka sendiri.
Baginda bertanya kepada Jibrail: “ Siapakah mereka itu?”
Jibrail menjawab “ Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah orang lain. (Riwayat Abu Daud)
Berdasarkan perumpamaan ini, para ulama menyimpulkan bahawa hukum mengumpat adalah haram dan termasuk dosa besar yang menuntut pelakunya melakukan taubat yang khusus berserta memohon kemaafan daripada orang yang diumpatnya.
Imam al-Ghazali ada menyebut enam perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat:
  1. Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam
  2. Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang
  3. Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh serta rendah kedudukannya
  4. Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat
  5. Bergurau dan membuat lawak dengan tujuan mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain
  6.  Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.
Dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, Imam Al-Ghazali menyatakan 6 keuzuran (situasi) yang mengharuskan mengumpat:
  1. Mengadu kezaliman dan pengkhianatan yang berlaku. Hal ini dijelaskan dalam Al-Quran surah An-Nisa ayat 148 yang bermaksud:
“ Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
  1. Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran yang berlaku, maka didedahkan kemungkaran tersebut.
  2. Meminta fatwa akan sesuatu hal seperti isteri menceritakan perbuatan jahat suami atau sebaliknya, berdasarkan aduan isteri Abu Sufyan kepada Rasulullah S.A.W tentang suaminya yang kedekut.
  3. Menyelamatkan saudaranya daripada kejahatan seseorang seperti mendedahkan kejahatan seorang hamba yang bakal dibeli (dalam konteks situasi semasa ialah pekerja) dan seseorang yang ingin dieserahkan amanah kepadanya. Demikian juga seseorang yang ditanya tentang perempuan atau lelaki yang bakal dikahwini, maka harus mendedahkan keburukannya sekiranya ada.
  4. Bila seseorang itu telah dikenal dengan nama julukan seperti si pendek dan sebagainya atau memperkenalkan seseorang yang memang terkenal dengan gelaran tertentu. Jika tujuannya menghina, maka haram hukumnya.
  5. Seseorang yang melakukan kefasiqan secara terang-terangan seperti lelaki atau perempuan yang mengubah jantinya, peminum arak, penzina dan sebagainya. Ketika menceritakan keburukan tersebut, kita tidak boleh menambah-nambah dan sepanjang niat kita dalam melakukan hal itu hanya untuk kebaikan.
Setiap perkara darurat hanya mengharuskan sesuatu yang dilarang sekadar yang diperlukan untuk mengatasi darurat itu sahaja.
SUMBER; Myibrah.com

Your Comment/ Komen Anda